Jumaat, 11 Februari 2011

Peruntukan awal RM4 juta baik pulih infrastruktur di Sandakan - Pairin

SANDAKAN 11 Feb. - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi membaik pulih pelbagai kerosakan infrastruktur di daerah ini akibat kejadian banjir dan tanah runtuh baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, peruntukan permulaan itu akan digunakan bagi membersihkan sisa runtuhan, membaiki sistem perparitan dan membaikpulih jalan raya.
"Kita amat bersimpati dengan bencana banjir dan tanah runtuh yang melanda daerah ini sehingga meragut nyawa selain melibatkan banyak kerosakan harta benda.
"Jadi, langkah membaik pulih segala kerosakan akan kita laksanakan secepat mungkin demi keselamatan dan keselesaan penduduk," katanya ketika melawat kawasan terlibat tanah runtuh berhampiran bangunan Dato House, di sini semalam.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batu Sapi, Datin Linda Tsen Thau Lin dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Sabah, Datuk John Anthony.
Menurut Pairin, pada masa ini kerja pembersihan sisa runtuhan dan membaiki jalan raya di kawasan itu telah berjalan lancar.
"Berdasarkan tinjauan ini saya melihat kebanyakan jalan raya utama yang sebelum ini dipenuhi dengan sisa runtuhan dan pokok tumbang telah pun dibersihkan dan sudah boleh dilalui," katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta semua pihak termasuk agensi swasta dan penduduk setempat supaya memberi kerjasama kepada pihak kerajaan bagi membaikpulih kerosakan di daerah ini.
Katanya, kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan terperinci dan teratur.
"Sekiranya semua pihak turun padang saya yakin masalah ini akan dapat ditangani dengan cepat dan berkesan," katanya. sumber: utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan