Khamis, 24 Februari 2011

Kenapa kami lari dari rumah?

 KEHILANGAN remaja khususnya yang berusia bawah 18 tahun di negara ini merupakan suatu ‘konflik masyarakat’ yang kini pada tahap merisaukan. Ia perlu dibimbangi semua pihak kerana boleh berlaku kepada mana-mana keluarga.

 Keretakan institusi kekeluargaan sebenarnya merupakan salah satu penyumbang mengapa remaja bawah umur melarikan diri dari rumah.
Masalah seperti ibu atau bapa berkahwin lain di samping tertekan dengan hubungan yang semakin rapuh menyebabkan remaja kini mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah yang menimpa mereka.
Kononnya mahu melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan ketua keluarga. Bagaimanapun, remaja itu sebenarnya tidak menyedari bahawa tindakan mereka melarikan diri dari rumah mengundang kepada permasalahan yang lebih besar.
Antaranya, mereka mudah terpengaruh dengan rakan-rakan, kekasih atau keluarga angkat baru yang berpotensi untuk terjebak dalam kancah jenayah seperti dadah, sumbang mahram dan rogol.
Bagi kanak-kanak atau remaja perempuan, kebanyakannya berakhir dengan terjerumus dalam aktiviti seks bebas sama ada dengan abang angkat, teman lelaki atau rakan-rakan yang ditemui selepas lari dari rumah.
Semua itu diceritakan sendiri oleh mereka yang pernah lari dari rumah.
Remaja bawah umur yang berjaya diselamatkan itu akhirnya menyesali perbuatan mereka yang melarikan diri dari rumah tanpa berfikir panjang.
Berikut pengakuan tiga remaja yang pernah terlibat dalam kes lari dari rumah, namun tindakan
mereka itu kemudian berakhir dengan keterlanjuran atau menjadi mangsa jenayah.

- KES 1: Lari sebab kecewa bapa berpoligami.
SEORANG kanak-kanak berusia 12 tahun mendakwa tertekan akibat bapanya berpoligami dan menjadi punca dia melarikan diri tiga kali dalam tempoh setahun.
Menurut kanak-kanak dikenali sebagai Rania, rasa malu dan tertekan terhadap tindakan bapanya itu menyebabkan dia memilih jalan yang salah.
“Selepas ayah kahwin sekali lagi dengan seorang janda beranak tiga, saya dan keluarga dicemuh, dihina orang kampung.
“Akibat tidak tahan cemuhan serta kecewa dengan tindakan ayah, saya mengambil keputusan untuk lari dari rumah.
“Kali pertama lari, saya ke rumah ibu saudara,” jelasnya yang ditemui ahli Kewaja (Pusat Kebahagiaan Wanita dan Remaja) ketika merayau-rayau di ibu negara baru-baru ini.
Rania memberitahu, perasaan sedih semakin bertambah setelah keluarganya tidak berusaha mencarinya.
Bagaimanapun, katanya, ibu saudaranya telah menyerahkan semula kepada keluarganya selepas seminggu lari.
“Selang beberapa bulan, saya mengenali seorang abang angkat dan akibat tertekan dengan perubahan sikap ayah yang sudah lama tidak pulang ke rumah, sekali lagi saya lari dari rumah dan mengikut abang angkat saya.
“Akibat termakan pujuk rayu abang angkat yang lebih tua lima tahun, saya telah terlanjur di rumah sewanya dalam tempoh dua bulan saya melarikan diri,” katanya.

- KES 2: Tidak boleh terima hakikat sebagai anak angkat
SEORANG gadis berusia 16 tahun mendakwa dia melarikan diri dari rumah keluarganya sejak berusia 14 tahun selepas mendapat tahu dirinya merupakan anak angkat.
Dikenali sebagai Balkis, dia memberitahu, perkara itu diceritakan ibu angkatnya selepas ibu kandungnya disahkan menghidap penyakit HIV dan meninggal dunia.
“Ibu saya disahkan menghidap HIV selepas dijangkiti daripada ayah yang merupakan seorang penagih dadah tegar.
“Dengan masalah kesempitan wang, ibu kandung menyerahkan saya ketika bayi kepada sebuah keluarga angkat.
“Akibat kecewa status sebenar dirahsiakan selama 14 tahun, saya menjadi semakin liar, bergaul bebas,” ujarnya.
Katanya, dia kemudian lari ke rumah teman lelaki sebelum terlanjur dengannya sehingga disahkan hamil anak luar nikah.
Balkis kemudian diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas teman lelakinya menghilangkan diri.
“Bagaimanapun saya kembali kepada perangai asal sejurus keluar dari pusat itu yang dihuni kira-kira dua tahun,” katanya mengakui telah melakukan hubungan seks bebas dengan lebih lima lelaki.

- KES 3: Terpengaruh sikap terbuka ibu
SEORANG remaja berusia 15 tahun mendedahkan sikap ibunya yang terlalu membiarkan dan terbuka terhadap hubungan cintanya telah menyebabkan dia bebas.
Menurut gadis sunti yang ingin dikenali sebagai Siti, kebebasan itu menyebabkannya lari dari rumah selain terjebak dengan seks bebas, rokok, arak dan dadah.
“Ibu terlalu mempercayai teman lelaki saya yang dilihat memiliki personaliti sopan dan latar belakang sekolah agama sejak sekolah rendah.
“Saya mula bercinta sejak masuk sekolah menengah dan ibu sangat terbuka mengenai hubungan kami sehingga saya hanya dibenarkan keluar jika bersama teman lelaki.
“Selepas setahun percintaan dan terpengaruh dengan kawan-kawan sebaya, saya ponteng sekolah untuk lari ke Johor Bahru,” katanya.
Katanya, di sana, dia tinggal bersama di rumah sewa teman lelaki untuk hidup bebas, keluar ke kelab malam untuk minum arak dan dadah.
“Bagaimanapun saya kembali ke pangkuan keluarga selepas disahkan hamil hasil daripada pergaulan yang bebas dan melakukan hubungan sex dengan teman lelakinya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan