Jumaat, 18 Februari 2011

Penduduk minta naik taraf jalan ke Kiulu dipercepat.

Seorang penduduk di Kampung wasai Kiulu Tamparuli meminta pihak berkenaan agar mempercepatkan kerja menaiktaraf jalan yang menuju ke kampung mereka.
Pengadu memaklumkan kepada ActionLine bahawa kerosakan jalan tersebut amat membebankan kepada mereka yang menggunakan jalan itu. “Jika kenderaan pacuan empat roda mengalami kesukaran untuk melalui jalan tersebut, apatah lagi dengan kenderaan kecil seperti Perodua Kancil. Keadaan akan menjadi lebih teruk apabila tiba musim hujan,” katanya.
Pengadu menambah bahawa setiap kali hendak turun ke pekan, dia terpaksa membawa sepasang lagi pakaian kerana kadang-kala kenderaannya tersangkut di jalan tersebut.
“Bayangkan, belum sampai ke pekan, pakaian yang dipakai sudah dipenuhi lumpur akibat menolak kenderaan yang tersangkut itu,” katanya.
“Penduduk kampung juga pernah sebulat-suara menyewa sebuah jentolak bagi tujuan meratakan jalan tersebut dengan duit sendiri. Kos tersebut memcecah sehingga ribuan ringgit namun kesannya hanya untuk sementara waktu sahaja kerana ketika hujan, jalan tersebut kembali rosak,” tambah pengadu tersebut.
Aduan yang dikemukan kepada Pemimpin Kemajuan Rakyat kawasan berkenaan juga tidak pernah dilayan. Malahan, menurut pengadu wakil rakyat di kawasan mereka juga memberikan pelbagai alasan ketika aduan tersebut diajukan kepadanya. “Cukuplah jika jalan tersebut hanya ditabur dengan batu kelikir. Sekurang-kurangnya ia tidaklah teruk seperti sekarang,” jelas pengadu berkenaan.
Majlis Daerah Tuaran Ketika dihubungi ActionLine memaklumkan bahawa pegawai yang berkaitan akan diberitahu mengenai masalah tersebut dan kerja pembaikan jalan akan dilakukan secepat mungkin setelah pemeriksaan dilakukan.
Manakala Pegawai Pembangunan Masayarakat Kiulu, Kumin Geppei berkata pihaknya akan menyiasat mengenai aduan tersebut terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan dapat diambil.
“Mengenai aduan mereka yang dikatakan tidak pernah dilayan, saya meminta agar Pengerusi JKKK kampung tersebut atau pengadu sendiri untuk datang ke pejabat kami dengan membawa salinan surat aduan yang pernah dihantar serta gambar kerosakan jalan yang dimaksudkan.” Jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan