Isnin, 21 Februari 2011

Pairin rayu Kementerian Pelajaran beri peluang kepada 578 GSTT di Sabah





21st February, 2011
PENAMPANG: Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan merayu Kementerian Pelajaran supaya memberi peluang kepada 578 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sabah yang tamat kontrak akhir tahun lalu menyambung semula perkhidmatan mereka dan seterusnya mengikuti latihan perguruan supaya terus kekal dalam perkhidmatan perguruan.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata, ini penting memandangkan Sabah masih kekurangan guru.
Katanya, GSTT dari Sabah dan Sarawak seharusnya diberi peluang untuk meneruskan khidmat mereka bagi mengisi kekosongan yang ada di kedua-dua negeri berkenaan dan bukannya menghantar guru dari Semenanjung ke negeri berkenaan.
“Kita perlu membuat beberapa pertanyaan kepada Kementerian Pelajaran kerana kita kurang jelas mengenai perkara ini. Kita hanya mengetahui ada kekurangan guru di negeri ini tetapi masalah itu dapat diatasi dengan melantik guru sandaran sedia ada.
“Kenapa pula guru sandaran yang memang mempunyai ijazah itu dilepaskan?,” katanya kepada pemberita selepas majlis Perasmian Kempen Kesihatan dan Derma Darah di Megalong Mall, Donggongon, di sini, kelmarin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyatakan kerajaan akan terus menghantar guru-guru dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak sehingga masalah kekurangan guru mahir di kedua-dua negeri itu dapat diatasi.
Mohd Puad dipetik sebagai berkata pada masa ini kuota untuk pengambilan dari kalangan anak negeri Sabah dan Sarawak belum dipenuhi. Walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk mengadakan proses temuduga secara terbuka di kedua-dua negeri itu, kuota untuk pengambilan guru anak tempatan masih belum berjaya dipenuhi.
Pairin berkata, masalah kekurangan guru di Sabah dan Sarawak tidak boleh diatasi hanya dengan menghantar guru-guru dari Sememanjung ke negeri berkenaan, sebaliknya guru sandaran dari kedua-dua negeri itu perlu dilatih untuk meneruskan kerjaya mereka.
“Ini bererti peluang untuk anak tempatan untuk mengisi kekosongan yang ada di negeri ini adalah lebih. Kalau tidak bila lagi anak tempatan kita akan dilatih?
“Saya juga ingin bertanya, kalau ada kekurangan guru di sini, kenapa guru-guru dari Sabah dihantar ke Semenanjung? Keadaan ini seperti tidak begitu selaras dan tidak pula menjurus ke arah penyelesaian yang lebih baik,” katanya.
Sehubungan itu Pairin berharap, Kementerian Pelajaran dapat memberikan pertimbangan sewajarnya dalam keadaan di Sabah agar langkah untuk mengisi kekosongan guru di sini berjalan lancar.
“Kita tidak perlu memindah guru lain ke sini kerana kita tahu bahawa ramai diantara mereka yang datang ke sini, kurang selesa dengan keadaan di sini, kerana tidak biasa.
“Biarlah guru-guru sandaran di sini diberi latihan supaya mereka terus menyumbang tenaga dengan penuh semangat bagi memastikan pendidikan kanak-kanak terus meningkat dan mencapai kejayaan,” katanya.
Pairin berkata, pihaknya telahpun menyampaikan hasrat agar GSTT diberi latihan sewajarnya bagi memastikan mereka mempunyai kelayakan untuk terus mengajar di sini.
Pada 20 Januari lepas, seramai 578 GSTT di Sabah yang tamat kontrak akhir tahun lalu mengharapkan Kementerian Pelajaran menyambung semula perkhidmatan mereka seperti dijanjikan.
Pengerusi Jawatankuasa GSTT Sabah, Norman Lantayan, berkata awal bulan lalu, Timbalan Menteri Pelajaran memberi jaminan kementerian tidak memberhentikan sebahagian daripada 12,000 guru terbabit yang tamat kontrak, tahun lalu.
“Bagaimanapun, sehingga kini kami belum menerima surat tawaran sambungan kontrak perkhidmatan yang menyebabkan ada sekolah kekurangan guru sehingga 19 orang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan