Ahad, 13 Februari 2011

Hishammuddin tolak Suruhanjaya Diraja bincang masalah imigran di sabah

KLUANG: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menolak cadangan untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan masalah imigran di Sabah.

Katanya, cadangan penubuhan suruhanjaya sebagaimana yang disuarakan oleh Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Tan Sri Bernard Dompok itu tidak akan membawa sebarang penyelesaian terhadap permasalahan imigresen di Sabah. Suruhanjaya Diraja tidak akan membawa kita ke mana-mana kerana kita mahu penyelesaian...kita mahu sesuatu yang praktikal yang boleh diselesaikan, suatu imbangan antara ekonomi dan syarat keselamatan," katanya di sini.

Hishammuddin, yang juga Anggota Parlimen Semberong berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran Parlimen Semberong di Kahang, hari ini.

Katanya, kerajaan menubuhkan sebuah makmal bagi mengkaji permasalahan imigran di Sabah yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Makmal terbabit, katanya, mengemukakan cadangannya kepada Kabinet Sabah dan kini sedang menunggu reaksi balas daripada pemimpin-pemimpin negeri itu.

"Jikalau dapati cadangan (oleh makmal) itu adalah kukuh maka sokongnya. Sekiranya cadangan itu tidak sebaik mungkin maka cadang sesuatu yang lain," katanya.
Mengenai dakwaan seorang ahli perniagaan yang juga bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dari Sabah yang diisytiharkan sebagai pemerintah di wilayah Sulu di selatan Filipina, Hishammuddin berkata, dakwaan terbabit tidak mempunyai sebarang kaitan dengan masalah imigran di negeri terbabit.

Katanya, terdapat tiga laporan polis dibuat terhadap ahli perniagaan itu dan siasatan sudah dimulakan. 

1 ulasan:

  1. Tidak hairan, kalau buat hilanglah ppengundi tetap mereka, kalau harapkan orang asal Sabahan untuk terus menyokong BN jangan harap ?

    BalasPadam